[newmalaysianpost] DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada tindakan akan diambil ke atas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terbabit dalam video seks yang didakwa turut membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Presiden PKR itu berkata, beliau berpegang kepada ketetapan bahawa kes itu perlu disiasat terlebih dahulu oleh pihak polis, katanya dipetik Bernama.
Parti itu kata beliau tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru untuk menghukum sehinggalah Haziq terbukti bersalah.
“Kami menolak politik kotor tetapi saya tidak akan menghukum beliau (Haziq) sehingga siasatan polis selesai. Saya rasa kita patut bertindak mengikut fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pimpinan PKR Negeri Sarawak di sini hari ini.
Ditanya mengenai desakan Mohamed Azmin supaya PKR menyiasat bagaimana nombor-nombor telefon ahli dan pemimpin parti digunakan menyebarkan video berkenaan, Anwar berkata, ia bukan sesuatu yang sukar dibuat.
Beliau berkata, nombor-nombor berkenaan sangat mudah didapati oleh mana-mana ahli PKR terutamanya ketika berlangsungnya pemilihan parti.
Katanya, data-data tersebut boleh diakses oleh mereka yang bertanding supaya mereka dapat berkempen kepada lebih 900,000 ahli PKR seluruh negara.
“Saya boleh katakan, ratusan malah ribuan orang boleh akses kepada data ini sejak 2018. Sebab itu, biar polis siasat dahulu,” ujarnya.
Katanya, cara terbaik pada masa ini ialah memberi ruang kepada siasatan pihak berkuasa.
“Saya percaya pasti ada dalang di sebalik insiden ini.
“Apa pun, kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Hanya bukti yang kukuh dapat menepis sebarang tuduhan,” katanya.

Comments
Post a Comment