Kematian pertama orang asli Suku Batek Kuala Koh adalah pada 2hb Mei 2019 iaitu seorang wanita berusia 63 tahun disusuli kematian kedua pada 5hb Mei 2019 iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun. Peringkat awal ianya disenyapkan oleh penduduk kampung sehinggalah lebih ramai yang meninggal dan dijangkiti wabak penyakit.
Kerajaan Negeri Kelantan 5 hari sebelum berlakunya kematian pertama tersebut telah mengirimkan pasukan menyantuni warga Pos Lebir ini dalam Misi Rawat Kuala Koh 2.0 selepas misi pertama dijalankan pada 15hb Mac sebelumnya.
YB Hajah Mumtaz bt. Md Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita pada 27hb April 2019 telah mengumpulkan para petugas NGO Misi Kembara Dakwah, MESRA, Skuad Kita Cakna dan banyak lagi badan kebajikan dan sukarelawan untuk turun ke Kuala Koh. Ia rutin biasa Kerajaan Negeri yang selalu mengambil berat kebajikan orang asli negeri ini dan semua pihak tidak menjangkakan satu tragedi bakal berlaku seminggu selepas Misi Rawat Kuala Koh 2.0 dilaksanakan.
Sebagai satu catatan sejarah, dalam Misi Rawat Kuala Koh 2.0 pada akhir April 2019 lalu, beberapa pengisian telah dilakukan antaranya ceramah kesihatan yang mana berkisar tentang kepentingan menjaga kebersihan dan amali/demonstrasi membasuh tangan yang disampaikan oleh Ybrs Dr Hasif.
Kit kebersihan dan ubatan pula telah disediakan oleh YB Mumtaz serta telah sampaikan kepada semua keluarga di Kuala Koh.
Khidmat Kesihatan statik turut diadakan. Sabun khas untuk penyakit kulit dan ubatan telah diberi kepada semua penduduk yang bermasalah.
Malahan, sebelum pasukan ini turun bagi menjayakan Misi Rawat 2.0, satu laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri berkenaan status penyakit kulit semasa itu telah diperolehi.
Ia adalah penilaian risiko tentang kejadian kluster Tinea Corporis & Tinea Imbricata di Kg Kuala Koh pada tarikh 29/3/19. Seramai 21 orang pengidap Tinea Corporis & Tinea Imbricata yang telah ditemui (umur dari 3-40 tahun). Terdiri daripada 12 orang lelaki & 9 orang perempuan.
Bilangan pengidap yang berusia bawah 12 tahun adalah seramai 13 orang. Pengidap yang berumur 12 tahun & ke atas seramai 8 orang. Sejumlah 10 orang mengalami simptom yang teruk dan 11 orang simptom yang biasa. Kesemua mereka mempunyai sejarah mengidap penyakit ini lebih setahun yg lalu (sejak Mac 2018).
Kerajaan Negeri berterima kasih atas intervensi yang telah dijalankan oleh Mobile Team KK Aring dan HOAG yang telah membuat promosi kesihatan tentang kebersihan diri kepada para penduduk (setiap kali lawatan), membuat kerjasama pintar bersama NGOs (Sahabat Jariah) bagi membekalkan sumber air bersih kepada para penduduk (Sahabat Jariah telah membina 2 buah telaga boring), berbincang dgn pihak JAKOA Malaysia agar dapat membina tandas & bilik air komunal, menjalankan ACD & merawat pengidap dengan kerjasama Fakulti Perubatan UM, Jabatan Dermatologi HKL & Persekutuan Doktor-Doktor Swasta Malaysia (FPMPAM).
Apa pun, beberapa misi telah dibuat oleh pihak berkuasa negeri ini dalam menyantuni warga orang asli Kuala Koh lama sebelum terjadinya tragedi kematian di Pos Lebir. Ia sekaligus menjawab tuduhan liar sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak menjaga kebajikan orang asli di negeri ini. Inilah sifat bekerja cara Islam yang sentiasa proaktif dan ‘sepanjang masa’, bukannya bekerja secara responsif dan mengejar berita ‘viral’ semata mata. Usaha kecil YB Mumtaz pada akhir April dan juga komitmen YB Ustaz Tuan Saripudin pertengahan Mac lalu akan terus dilestarikan oleh Kerajaan Negeri pada masa masa akan datang. Semoga penduduk suku batek seramai 55 buah keluarga di pinggir Taman Negara ini akan dilindungi Allah SWT sentiasa, sama sama kita doakan.
Nazman Che Iberahim
110619
110619

Comments
Post a Comment