Saya membaca tulisan Saudara Wan Ji Wan Hussin, Pengarah akademik Saudara Research Centre seperti yang disiarkan oleh portal online Malaysiakini di mana beliau mempertikaikan hadis yang dibaca oleh Timbalan Presiden PAS, Dato Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man semasa membahaskan usul pengisytiharan harta hari ini di Dewan Rakyat.
Saya hanya ingin menyentuh berhubung kedudukan hadis yang menjadi tajuk tulisan tersebut. Penulis menyatakan hadis tersebut sebagai hadis palsu berdasarkan pandangan beberapa ulama yang dinyatakan. Dengan menghormati para ulama dan cendikiawan yang disebutkan itu, perlu juga dinyatakan bahawa ada juga pengkaji hadith yang menerima hadith ini sebagai sahih.
Di dalam ucapan Dato Tuan Ibrahim sendiri menyebut nama Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (1914 - 1999) yang menukilkan hadis ini di dalam kitabnya Al-Silsilah Al-Sahihah. Walaupun tidaklah pandangan ini Albani ini merupakan satu keputusan mutlak di dalam dunia pengkajian hadis, namun setidak-tidaknya untuk menyatakan hadis itu palsu dengan menolak terus pandangan Albani merupakan satu pandangan yang agak kurang tepat. Adakah kita juga berpandangan bahawa Albani memasukkan hadis palsu di dalam kitabnya, Al-Silsilah Al-Sahihah ini?
Saya kepilkan di sini tangkap layar kitab susunan beliau pada jilid ketiga dan halaman 436 yang terdapat hadis yang dipertikaikan itu. Manakala pada pautan boleh didapati audio pandangan almarhum berhubung hadis ini ketika ditanya.
Adapun berhubung isu-isu lain di dalam tulisan tersebut, saya tidak berhasrat untuk menyentuh dalam hantaran ini.
Wallahualam

Comments
Post a Comment